Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Saturday, 11 June 2022

Hadith 40 Imam Nawawi - Hadith 2: Islam, Iman & Ihsan

HADITH 2: ISLAM, IMAN & IHSAN

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.  Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.  Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).  Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no:2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa'ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah,no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad , no: 346).

Pengajaran:

Hadith ini juga dikenali sebagai hadith Jibril. Ianya menceritakan tentang persoalan-persoalan yang ditanyakan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah s.a.w dan antara persoalan yang ditujukan ialah; soal Islam, Iman dan Ihsan yang menjadi tunjang kehidupan seorang muslim.

Terdapat lima rukun Islam yang menjadikan seseorang itu muslim dan antaranya mengucapkan dua kalimah shahadah, menunaikan solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjekan haji bagi yang berkemampuan.

Enam rukun Iman yang wajib diyakini untuk memperoleh iman yg sempurna adalah beriman kepada Allah taala, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada hari Kiamat, dan beriman kepada Qada' dan Qadar.

Ihsan itu adalah sifat itqan dimana kita melakukan ibadah seolah-olah kita melihat Allah, sekiranya kita tidak dapat melihat Allah (dengan mata hati), sesungguhnya Allah sentiasa melihat kita.

Hadith ini juga menekankan tentang adab berguru dan menyampaikan ilmu, sepertimana adab yang ditunjukkan oleh malaikat Jibril ketika bertanya kepada Rasulullah. Ia juga menunjukkan adab sebagai seorang guru yang mana jika kita tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam sesuatu ilmu, maka berdiam itu lebih baik dan perlulah bertanya kepada yang lebih arif.

Hadith ini menceritakan tentang tanda-tanda kiamat yang sudah nyata berlaku di zaman kini dan menjadi kewajiban untuk kita melakukan persiapan yang secukupnya bagi menghadapi hari pengakhiran kita.

Tahap keimanan seseorang juga boleh diukur dengan spektrum penerapan tiga teras kehidupan kita iaitu Islam, Iman dan Ihsan itu sendiri. Dengan pengamalan rukun-rukun Islam, kita mencapai tahap pertama iaitu muslim. Dengan keimanan kepada rukun-rukun Iman, kita akan diangkat kepada golongan mukmin. Dan dengan sifat Ihsan, kita akan mencapai tahap tertinggi dan berada di dalam golongan muhsin.

Ketiga-tiga teras ini bukanlah dikotak-kotakkan bahkan ianya diperlukan, diamal dan dihayati secara serentak sesuai dengan agama Islam yang bersifat syumul (menyeluruh) dan kamil (lengkap).

Justeru, ianya merupakan tanggungjawab kepada kita untuk berusaha untuk mendirikan dan menjaga tiang-tiang agama ini (islam, iman, dan ihsan) demi menjadi seorang Ibad dan Khalifah yang diredhai Allah S.W.T serta menjadi insan rabbani yang menjadi sumber kebaikan kepada seluruh alam (rahmatan lil alamin).

Saturday, 20 July 2019

Rahsia Solat




Ertinya: Sesunggunya berjayalah orang-orang yang beriman,(1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;(2)
(Al-Mukminun 23:1-2)

Allah telah menjanjikan kemenangan bagi orang Islam yang mukmin.

 Tidak semestinya seorang muslim itu mukmin. Namun, seorang mukmin itu semestinya muslim. Dan seorang mukmin yang baik akan sentiasa menjaga kesempurnaan solatnya.

Namun, untuk benar-benar khusyuk dalam solat amatlah sukar. Terutamanya bagi kita umat akhir zaman yang imannya sering naik dan turun.

الصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّين
Solat itu tiang agama.

"Bayangkan kita sedang membina rumah. Lantai mozek mahal, atap import dari Sweden, fully furnished tapi tiang menggunakan kayu rotan sahaja. Adakah ianya kukuh?"

Begitu juga dengan kehidupan kita. Tanpa tiang yang kukuh, hidup pasti akan tidak stabil dan penuh dengan permasalahan.

Maka, untuk menjadikan rumah(kehidupan) kita kukuh dan stabil, perlunya tiang yang kuat dan kukuh.

Oleh itu, perbetulkanlah solat kita!

Amatlah rugi bagi seorang muslim yang hidup berdekad-dekad didunia ini namun rukun Islam yang kedua tersebut masih kelaut.

Ianya masih belum terlambat untuk perbetulkan solat kita dan ianya boleh dimulakan sekarang!

Antara ebook yang amat saya suka.

Rahsia Solat
karya Ustaz Hasnan Kasan

Ia memberikan sedikit sebanyak ilmu tentang solat yang mungkin dapat memperkuatkan lagi pemahaman kita tentang solat dan cara perlaksanaannya.


Boleh dapatkannya sekarang dengan mengeklik buku atau link dibawah👇
➡️ Klik disini ⬅️


Sekian, Moga bermanfaat Insyallah...

Tuesday, 16 July 2019

Mahfudzot: 1. Belajar di Waktu Kecil

MAHFUDZOT: 1


التَّعَلُّمُ فِي الصِّغَرِ كَالنَّقْشِ عَلَى الحَجَر

Ertinya: Belajar di waktu kecil, bagai mengukir di atas batu.


Pengajaran:

Dalam memupuk nilai atau akhlak terutamanya dalam diri anak-anak, ia perlu dimulakan sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Seorang kanak-kanak apabila ia membesar, dirinya akan dibentuk mengikut apa yang dipelajari sejak kecil.

 Tingkah laku, adab terhadap orang tua dan masyarakat, serta nilai murni perlu disemai dari kecil lagi dan ianya menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik mereka.

Apa yang kita pelajari dari kecil akan kekal dengan diri kita sehingga ke dewasa.

Namun, jika kita masih lagi mempunyai tabiat yang kurang baik ataupun diri kita masih lagi belum cukup baik, ianya masih belum terlambat untuk kita berubah dan belajar. 

Maka, perubahan dan tabiat yang baik perlu dipahat dari sekarang.

Samalah seperti ukiran di atas batu yang tidak akan hilang walau dihanyut sungai.


Sekian.

Sunday, 14 July 2019

Hadith 40 Imam Nawawi - Hadith 1: Niat


HADITH 1: NIAT



Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."

(Riwayat al-Bukhari no.1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no. 1646, al-Nasai`i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)

Pengajaran:

Segala amalan adalah bergantung kepada niat seseorang. 

Ada orang yang melakukan perkara yang buruk tetapi dilihat baik dimata orang. 

Ada juga orang yang melakukan sesuatu yang baik namun dilihat buruk dimata orang. 

Hakikatnya, perkara yang paling penting sekali adalah bagaimana Allah melihat kita.

Jika niatnya baik, maka Allah akan memberi balasan yang baik hatta hanya dengan niat yang baik itu sahaja Allah akan kurniakan pahala.

Jika niatnya buruk, maka balasannya juga buruk disisi Allah.

Sekian.

Friday, 12 July 2019

Yakjuj & Makjuj Perosak Dunia Akhir Zaman

Yākjūj dan Mākjūj, dalam eskatologi Islam, merupakan puak yang bersikap ganas dan korup yang akan merosakkan bumi sebelum akhir umur dunia. Mereka turut disebut sebagai Gog dan Magog dalam kitab Ibrani dan Perjanjian Baru Kristian(New Testament).

Membina dinding menentang Yakjuj & Makjuj, lukisan daripada Qasim, abad ke-16.

Nama Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Dalam surah al-Kahfi, diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang daripada serangan mereka.
Manakala dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah SWT.
Peristiwa kedatangan Yakjuj dan Makjuj termasuk di dalam perkara ghaib yang wajib diimani sekalipun kita sangat berharap tidak berada pada zaman berkenaan. 
Antara ebook yang memberi pencerahan yang baik mengenai golongan Sang Perosak Dunia di Akhir Zaman:
"Yakjuj & Makjuj Api Di Sebalik Tembok Besi"
⬇️ Klik dibawah untuk membongkar misteri Yakjuj & Makjuj.⬇️
Klik di sini




Sudah bersediakah anda?