HADITH 2: ISLAM, IMAN & IHSAN
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi8wno1z59ZPyMY-h3XS-x8alpbjAmG3c-AFJWcQdr6e-C7F9PUu8EiHx3tx0C8xI63r99KMWlC55H6qw1fCfm0MuWush0EDlffGnNsc9WuQ5qzbX37LeXBx_RLAOc3m205TjD5XqT0VhMRwsZfXF3Dg0gDAW5lScDJlSqbeeDwkqwYrgxz0T9PY-DFJA/s16000/hadis%202.png)
Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no:2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa'ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah,no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad , no: 346).
Pengajaran:
Hadith ini juga dikenali sebagai hadith Jibril. Ianya menceritakan tentang persoalan-persoalan yang ditanyakan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah s.a.w dan antara persoalan yang ditujukan ialah; soal Islam, Iman dan Ihsan yang menjadi tunjang kehidupan seorang muslim.
Terdapat lima rukun Islam yang menjadikan seseorang itu muslim dan antaranya mengucapkan dua kalimah shahadah, menunaikan solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengerjekan haji bagi yang berkemampuan.
Enam rukun Iman yang wajib diyakini untuk memperoleh iman yg sempurna adalah beriman kepada Allah taala, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada hari Kiamat, dan beriman kepada Qada' dan Qadar.
Ihsan itu adalah sifat itqan dimana kita melakukan ibadah seolah-olah kita melihat Allah, sekiranya kita tidak dapat melihat Allah (dengan mata hati), sesungguhnya Allah sentiasa melihat kita.
Hadith ini juga menekankan tentang adab berguru dan menyampaikan ilmu, sepertimana adab yang ditunjukkan oleh malaikat Jibril ketika bertanya kepada Rasulullah. Ia juga menunjukkan adab sebagai seorang guru yang mana jika kita tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam sesuatu ilmu, maka berdiam itu lebih baik dan perlulah bertanya kepada yang lebih arif.
Hadith ini menceritakan tentang tanda-tanda kiamat yang sudah nyata berlaku di zaman kini dan menjadi kewajiban untuk kita melakukan persiapan yang secukupnya bagi menghadapi hari pengakhiran kita.
Tahap keimanan seseorang juga boleh diukur dengan spektrum penerapan tiga teras kehidupan kita iaitu Islam, Iman dan Ihsan itu sendiri. Dengan pengamalan rukun-rukun Islam, kita mencapai tahap pertama iaitu muslim. Dengan keimanan kepada rukun-rukun Iman, kita akan diangkat kepada golongan mukmin. Dan dengan sifat Ihsan, kita akan mencapai tahap tertinggi dan berada di dalam golongan muhsin.
Ketiga-tiga teras ini bukanlah dikotak-kotakkan bahkan ianya diperlukan, diamal dan dihayati secara serentak sesuai dengan agama Islam yang bersifat syumul (menyeluruh) dan kamil (lengkap).
Justeru, ianya merupakan tanggungjawab kepada kita untuk berusaha untuk mendirikan dan menjaga tiang-tiang agama ini (islam, iman, dan ihsan) demi menjadi seorang Ibad dan Khalifah yang diredhai Allah S.W.T serta menjadi insan rabbani yang menjadi sumber kebaikan kepada seluruh alam (rahmatan lil alamin).
No comments:
Post a Comment